Sekumpulan keluarga warga China rempuh masuk bilik media di KLIA
SEPANG: Sekumpulan ahli keluarga warga China MH370 bertindak merempuh masuk bilik sidang media di Hotel Sama-Sama kira-kira jam 4.30 petang tadi dengan membawa kain rentang sambil berteriak dan menangis.
Bagaimanapun tindakan sekumpulan ahli keluarga yang terdiri daripada empat hingga lima orang itu berjaya ditenangkan oleh pegawai sekretariat media dan dibawa keluar oleh pegawai polis yang bertugas di situ.
Keadaan di bilik media berkenaan kecoh kira-kira 10 minit apabila salah seorang ahli keluarga mangsa yang berteriak dalam bahasa ibundanya berkata "Kerajaan Malaysia sembunyikan maklumat mengenai ahli keluarga kami".
Difahamkan, keluarga berkenaan menginap di Hotel Cyberview di Cyberjaya untuk menunggu laporan dan maklumat mengenai misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Komentar
Posting Komentar